Terimakasih buat Wartawan Norhayati Nordin yang sudi menemuramah kami dan jurugambar Nur Adibah yang tidak bosan melayan kerenah kami.
Rap
Jebat kekal membara
Oleh Norhayati Nordin
Ditubuhkan sejak empat tahun lalu, kumpulan Jebat dari Kajang, Selangor tegar memperjuangkan muzik rock. Tidak gentar dengan dugaan yang datang, semuanya ditolak ke tepi demi perjuangan untuk terus memartabatkan semangat rock sejati.
Dianggotai Muhamad Iskandar Md Raus atau Ujang Dickinson sebagai penyanyi, Badrul Hisham Mohd Saari (Sham J-batt, keyboard), Abdul Hamid Abdul Halim (Amet, gitar), Mohd Kalmuree Mansor (Karl, bass) dan Jamaludin Dahali (Jay Dee, dram), pastinya laluan cerah diharapkan mereka.
Malah, bersandarkan single Amukan Jebat yang sudah dirakamkan kumpulan ini dua tahun lalu, nafas baru turut disuntik semula pada lagu itu supaya lebih mantap buat tatapan pendengar.
Menurut Ujang, semangat waja ahli kumpulan Jebat terhadap muzik rock tidak pernah luntur biar pun sedar saingan yang harus diharungi mereka cukup hebat dengan genre muzik lain.
“Bagi kami, perjuangan terhadap muzik rock tetap akan berterusan sampai bila-bila. Umpama dulu, kini dan selamanya. Apatah lagi, ia sudah cukup sebati dalam jiwa kami berlima yang takkan pernah gentar untuk berjuang.
“Ditambah lagi, dengan nama Jebat yang dipilih untuk kumpulan ini pastinya ia juga membantu mencetuskan semangat waja di hati kami terus memperjuangkan semangat rock sejati,” katanya.
Ujang berkata, Jebat terbentuk hasil gabungan daripada anggota kumpulan muzik lain yang sudah berpengalaman. Katanya, semangat juang yang tinggi untuk terus semarakkan pengaruh muzik rock akhirnya menyatukan mereka berlima.
“Biarpun kami bermain muzik kerana minat dan secara sambilan, tetapi ia nyata memberikan ketenangan. Apa lagi, bila mana kami berlima berkumpul untuk berlatih bersama. Ia bukan saja mengeratkan hubungan antara kami, namun yang penting boleh saling berbincang antara satu sama lain.
“Kami pun cukup bersatu dan sepakat dalam menggerakkan perjalanan Jebat untuk dikenali ramai. Pun begitu, strategi diatur harus bijak bagi memastikan segala yang dirancang berjalan lancar.
“Sehubungan itu, bagi menyemarakkan semangat Jebat ini, kami mengambil inisiatif menerbitkan album yang memuatkan beberapa lagu seperti Amukan Jebat versi single, Memori Cinta (versi baru) Amukan Jebat (juga versi baru) Tangisan Noda dan Revolusi 446,” katanya.
Diterbitkan QQ Music Lab pada September tahun lalu, Jebat mengakui mereka begitu memerlukan promosi dan publisiti media untuk membantu mengetengahkan karier seni diminati sehingga akhirnya memperoleh kejayaan.
Apapun, bagi mengetahui perkembangan lanjut mengenai kumpulan Jebat ini dan aktiviti dijalankan bolehlah ke Facebook: Kumpulan Jebat atau blog di http://bandjebat.blogspot.com.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19